Thursday, August 12, 2010

Kuasa pada suara


Semua manusia punya suara termasuk orang bisu. Pada suara manusia itu ada tanda kebesaran Allah s.w.t. Lihatlah betapa ramai manusia yang mengkagumi suara manusia yang lunak, mersik, parau,lantang dan lemak merdu. Suara setiap manusia itu ada kelainanan sepertimana juga wajahnya. Sekalipun manusia kembar, masih boleh dibezakan sama ada suara atau wajahnya. Itulah kebezasan Allah yg menjadikan manusia punya suara. Suara adalah bunyi, hakikat suara ini kita tak tahu.Ia hanya boleh didengar ketika dilafaz dan apabila dirakamkan.



Sedapnya suara seseorang boleh memberikan impak yang berbeza kepada pendengar.Tepatnya sebutan sesuatu istilah juga memberikan impak yang berbeza kepada kita. Suara boleh dialunkan, boleh dilenggokkan dan boleh digetarkan. Semuanya bergantung kepada kemahiran manusia itu sendiri. Dari kemahiran dan kesenian inilah lahirnya ilmu tarannum dalam melagukan kalamullah (al-qur'an). Saya suka mendengar al-qur'an yang dilagukan secara tarannum tetapi saya sendiri gagal membaca dengan kaedah tarannum yang sedia ada , tiada satu tarannum pun mampu saya ikuti buat masa ini. Mungkin kerana tak ada seni langsung :)



Membaca al-qur'an bertarannum (berlagu) bukan satu kewajipan tetapi adalah satu kelebihan.Yang penting ialah tajwidnya betul.Saya sangat meminati bacaan dan suara Imam di masjidil Haram iaitu Shaikh Abdul Rahman As-sudais. Selain beliau bacaan dan suara yg sedap ialah sheikh Saad al-ghamidi dan Shaikh Su'ud As-Suraim yang biasanya bergandingan dengan as-sudais.Setiap mereka membaca dengan lenggok gaya tersendiri yang boleh dikenali oleh peminat-peminat mereka. Bagi saya susah untuk meminati selain dari suara syeikh as-sudais sekalipun program akademi al-qur'an saban tahun melahirkan generasi baru dengan suara dan tarannum yang hebat.



Malam ini tak sia2 saya bersengkang mata menunggu siaran langsung dari Makkah untuk mengkuti bacaan imam sambil menelaah makna dan meneliti sebutan2 imam yang sememangnya berbahasa Arab. Semalam imam bertugas adalah as-suraim dan seorang imam baru, saya fikir As-sudais sudah berehat, rupanya beliau masih diperlukan. Alhamdulillah. Walaupun kita boleh mendengar suaranya dari rakaman yang telah sedia ada tetapi suara siaran langsung berbeza. Terasa jiwa dah terbang ke Makkah. Syukur kepada Allah yg mengurniakan kepandaian kpd manusia mencipta teknologi sehinga suara yg beribu batu dapat kita dengar secara langsung dalam waktu yg sama (real time). Mudah2an saya dapat berjaga sepanjang ramadhan ..amin.

1 comment:

Ejoi said...

Pada awal Syaaban yang lepas, seorang murid kepada Abdul Rahman Al-Sudais ada mengimamkan Solat Jumaat di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Lenggok bacaannya dan sebutannya seakan-akan Abdul Rahman Al-Sudais, dan tidak dapat dinafikan yang Solat Jumaat hari itu berbeza sedikit rasanya.

Moga-moga Ramadan di tahun hadapan, akan ada usaha membawa Abdul Rahman Al-Sudais atau anak-anak didiknya datang ke Malaysia untuk mengimamkan solat di bulan yang mulia itu.