Thursday, June 26, 2008

Mentadabbur al Quran.

Mentadabbur al Quran.

Untuk mmenjadikan al Quran benar-benar dapat membersih dan mengubah diri kita , kita hendaklah mentadabburnya dan bukan sekadar membacanya sahaja. Bagaimanakah yang dikatakan mentadaburkan al Quran ?. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah taala ;


"Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi pengajaran bagi siapa yang mempunyai hati (pengertian) atau mempergunakan pendengarannya dengan berhati-hati"
Surah Qaf : 37

Manusia terbahagi kepada dua golongan[1];

Golongan Pertama : yang mempunyai hati yang hidup dan sedar. Golongan ini apabila terdengar saja ayat-ayat Allah , hati mereka terus terkesan dengan ayat-ayat yang dibaca tanpa perlu dipaksa untuk menghayatinya kerana hati mereka sentiasa hidup dan bersedia untuk mendengar dan menghayati taujihat Allah swt pada bila-bila masa sahaja. Golongan ini ialah orang-orang yang disebut oleh Allah dalam ayat di atas sebagai "من كان له قلب" (orang yang mempunyai hati (iaitu hati yang hidup).

Golongan Kedua ialah orang-orang yang tidak memiliki hati yang hidup dan sedar atau memiliki hati yang hidup dan sedar tetapi tidak sempurna sebagaimana golongan pertama .Golongan ini apabila mendengar ayat-ayat al Quran , hati mereka tidak terkesan secara terus dengannya tetapi memerlukan kepada usaha dan pemerhatian . Mereka perlu melapangkan hati , pendengaran dan penglihatan mereka untuk memerhati/meneliti ayat-ayat yang dibaca , memikirkannya dan cuba menyelami isi kandungannya dan pada ketika itu barulah mereka akan merasai kesan al Quran terhadap jiwa mereka. Golongan inilah yang dimaksudkan oleh ungkapan ;
"أو ألقى السمع وهو شهيد" dalam firman Allah di atas.

Jelasnya , kita perlu memusatkan hati , mata dan pendengaran kita untuk memahami dan mengeluarkan intipati ayat-ayat al Quran.Tidak terhenti sekadar itu , kita perlu pula menggunakan aqal untuk berfikir dan menyusun strategi/perancangan bagaimana untuk merealisasikan intipati ayat-ayat al Quran ini. Seterusnya dengan segala aset dan kemampuan (anggota , masa , harta-benda dsbnya) yang diberikan Allah , kita bergerak / bertindak untuk melaksana strategi/perancangan ini.

Inilah taujihat yang perlu kita ikuti dalam usaha menjadikan al Quran pengislah diri kita.

Para ulama' terdahulu , daripada al Quranlah mereka mengeluarkan hukum-hakam feqh , doktrin-doktrin Aqidah , undang-undang negara , ilmu-ilmu tasauf dan akhlak , ilmu balaghah , nahu , saraf dan sebagainya. Adapun kita pada hari ini al Quran hanya dibaca dan dilagukan atau diambil berkat sahaja.

Lebih menakjubkan lagi , dalam keadaan kita melupakan tugas kita mengkaji dan mentadabbur al Quran , para Orentalis berusaha dan berlumba-lumba untuk mengkaji al Quran kerana mereka menyedari kepentingannya terutamanya dalam bidang sains.

Antara mereka , sebagai contoh bagi kita , ialah Dr. Maurice Bucaille yang sanggup mengambil daya-usaha mempelajari bahasa Arab semata-mata untuk mengkaji dan memahami al Quran berdasarkan teksnya yang asli yang berbahasa Arab dan kemudiannya mengarang sebuah buku yang masyhur pada hari ini iaitu " Injil , Taurat , al Quran dan Sains Moden ". Antara ungkapannya dalam buku tersebut ;

"Sesungguhnya perbandingan yang dibuat di antara beberapa riwayat yang terdapat di dalam Taurat dan Injil dengan riwayat-riwayat dalam al Quran , dalam satu persoalan yang sama mendedahkan bahawa terdapat perbezaan-perbezaan asasi di antara beberapa teks dalam Taurat dan Injil yang tidak dapat diterima dari segi ilmiahnya dengan ayat-ayat al Quran yang bertepatan secara sempurnanya dengan penemuan-penemuan ilmu moden. Perbezaan-perbezaan asasi antara al Quran , Taurat dan Injil ini membatalkan segala dakwaan-dakwaan tanpa asas yang menyatakan bahawa nas al Quran adalah hasil pemindahan yang dibuat oleh Muhammad (s.a.w) daripada Taurat dan Injil"[2].

No comments: